Thursday, 11 January 2007
Ayah
Sudah lama rasanya tangan ini tidak menulis sesuatu di 'prasasti seni' ini...selama 6 bulan berkelana di Intan Bukit Kiara, terlalu banyak peristiwa suka, duka, pahit manis disimpan. Perjalanan kursus Diploma Pengurusan Awam bermula 10 Julai 2006 sehingga 5 Januari 2007 akan menjadi satu catatan sejarah yang akan dikenang sehingga akhirnya. Perjalanan kursus yang membawa pelbagai kisah. Namun apa yang lebih penting bagaimana aku mengharunginya. Alhamdulillah biar segala cabaran melanda diri ini tidak pernah goyah biar satu ketika hampir pasrah dengan kehendak Takdir. Aku tidak pernah ingin menolak kehendakNya namun pernah terfikir kenapa secepat itu. Kenapa ianya terjadi tatkala aku terlalu sibuk dengan pelbagai modul dalam kursus ini. Kenapa ianya terjadi tatkala aku baru ingin memberikan kesenangan kepadanya. Tarikh 15 Disember 2006 akan aku kenang sampai bila-bila. Ayahanda kesayanganku Haji Othman Bin Hj Saima telah kembali ke rahmatullah tatkala aku sedang sibuk menyiapkan tugasan kampungku. Namun, Alhamdulillah Tuhan ingin mengerakkan segalanya, aku sempat menatap wajah bapak ketika saat-saat akhirnya. Walaupun diri terlalu sebak namun aku gagahkan jua, saat-saat akhirnya hampir pasti, tak mungkin aku ingin melepaskannya walau sesaat. Kesedihan aku bertambah melihat wajah mak yang senantiasa setia menjaga bapak, makan, minum, segalanya diurus oleh mak biar bapak sudah tidak mampu untuk menyuapkan sesuatu. Seminggu sebelum kehilangannya aku sempat untuk pulang ke rumah. memang terasa mungkin ini minggu terakhir aku dapat berjumpa dengan bapak. Cuti hanya selama 3 hari memang tidak sempat untuk bersama-samanya ketika saat akhir itu namun apakan daya aku terpaksa balik ke Intan kembali meneruskan perjalanan kursus namun panggilan dari kakak di Bangi pada hari Rabu jam 11.00 malam memang tidak dapat aku tolak. Hati makin sebak, mendengar kata-kata kakak 'bapak dah nazak'. sepanjang perjalanan ke Johor hati aku diselubungi pertanyaan, bagaimana keadaannya kalau bapak dah takda? dalam masa yang sama aku masih berdoa agar bapak akan sembuh. baru 24 tahun aku bersamanya, rasanya masih tidak puas. Namun takdir penentu segala, tepat jam 2.20 pagi 15 Disember 2006, hari Jumaat penghulu segala hari bapak telah kembali ke rahmatullah. Aku yang tertidur sebelum itu tiba-tiba terjaga dan diberitahu 'bapak dah takda'. Alhamdulillah aku dapat menerimanya dengan redha biarpun air mata terus laju membasahi. tidak sanggup melihat wajah mak dan adik-beradikku yang lain. Alhamdulillah penantian selama 3 hari berakhir, tidak sanggup melihat bapak dalam keadaan begitu. Allah teramat sayang kepadanya. Alhamdulillah aku dan abang menjadi anak lelaki yang menguruskannya dari urusan mandi, sembahyang sehingalah dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Alif. Cuaca yang tiba-tiba redup sewaktu urusan pengebumian menguatkan hati aku yang kepergiannya perlu diredhai. Satu episod duka telah aku lalui, tak aku sangka angan-anganku untuk bersama-sama mak dan bapak selepas ini hanya tinggal kenangan. Biar bapak tidak banyak bercakap namun dialah pengurus segalanya sehingga kereta rosak pun aku panggil bapak dan dialah yang akan menyelesaikan segala biar telah dimamah usia, bapak tetap kuat demi anak-anaknya. Kenangan bersama bapak terlalu banyak dan akan aku abadikan dalam sudut hati. hanya doa dan kiriman al-fatihah akan sentiasa aku berikan buat bapak. Aku harap mak akan tabah dalam mengharungi hidup yang bakal mendatang. Terima kasih kepada mereka yang mengucapkan salam takziah kepadaku. Aku tau mereka tak ingin melihat aku bersedih. Terima kasih terutamanya kepada rakan-rakan DPA ku terutamanya rakan sebilikku, Lee dan Nizam yang sentiasa memberikan sokongan. Kehadiran kalian mengubati sedikit duka dalam hati ini. Terima kasih semua. Al Fatihah untuk Hj Othman Bin Hj Saiman.....
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment