Monday 26 February 2007

Dugaan itu sememangnya berat.....

Aku tidak tahu kepada siapa ingin aku adu, aku tidak mahu dikatakan menagih simpati tapi inilah hakikatnya. Aku perlu meluah rasa agar segala yang terbuku dapat dicurahkan. Kepada siapa hanya diri ini yang memahami segala. Hari khamis yang lepas aku pulang ke Johor buat pertama kalinya selepas ketiadaan bapak.Tanpa sedar sudah hampir 40 hari bapak tiada. Sepanjang perjalanan balik, aku asyik mengelamun. Rasa sedih mula bersarang memikirkan bapak benar-benar telah tiada. Siapa yang ingin mengambil aku lagi di perhentian Bandar Baru Uda. Jika sebelum ini kereta Wira WGV 8448 lah yang sentiasa setia menunggu anak bongsunya ini pulang tapi kini tiada lagi. Sampai di rumah mak telah menunggu. Kali ini dia keseorangan. Aku tak mampu menatap wajah mak. Biarpun dia cuba untuk menyembunyikan kesedihannya tetapi jelas tergambar kesunyian. Jika dulu bapak setia menemani kini emak benar-benar keseorangan. Aku benar-benar tidak percaya yang kami hanya tinggal berdua pada malam itu. Air mata ini dengan mudah mengalir. Keesokan hari merupakan kenduri arwah bapak, jadi pagi-pagi lagi aku menemani mak untuk membeli barang keperluan. Hati benar-benar runtun melihat kenangan bapak yang tersimpan. Jika dulu segalanya dilakukan bapak tapi…Syukurlah ada hamba Allah yang bermurah hati untuk menaja hidangan makanan bagi kenduri malam itu. Selepas solat jumaat, aku dan mak pergi menziarah ‘rumah’ bapak. “Pak ae, aku datang dengan anak mu lanang” (Pak, aku datang dengan anak lelakimu) Hati aku benar-benar tersentuh mendengar kata-kata mak apalagi dengan nadanya yang sebak. Pak, le’an datang dengan mak ni. Le’an sedih pak mak tinggal sorang-sorang. Kalaulah bapak boleh mendengar di ‘rumahnya’. Aku dan mak bersama-sama membacakan yasin dan tahlil buat bapak. Semoga bapak sentiasa tenang di sisiNya. Selepas itu aku dan mak terus ke rumah abangku untuk melawat anak-anak saudara yang sememangnya aku rindui. Melihat wajah Aiman, Imran dan Irfan segera terbayang wajah bapak. Kalau dulu bapaklah yang akan mengambil dan menghantar mereka ke sekolah. Kini sudah tidak lagi malah mereka jarang-jarang menjengah rumah di Uda.Air mata aku seka, biarpun di dalam hati hanya Tuhan sahaja yang tahu. Kenduri pada malam itu berlangsung dengan sempurna. Namun ianya sudah tidak sama. Melihat wajah mak dan adik beradik yang lain, semuanya kosong dan bila kenduri tamat, hanya tinggal aku, mak dan kak Na yang mengemas segalanya. Benar-benar aku rasakan bapak sudah tidak ada. Hari Ahad, aku ingin pulang semula ke Kuala Lumpur biar hati ini terlalu berat untuk meninggalkan mak namun tuntutan kerja aku terpaksa. Kalau dulu mak dan bapak yang akan menghantar aku ke stesyen bas tapi kini....sekali lagi hati aku sedih. Air mata sudah tidak mampu aku bendung. Melihat rumah yang akan aku tinggalkan, rumah ini memang benar-benar sunyi. Aku tinggalkan mak dengan seribu rasa kesedihan. Kenangan bapak terlalu banyak.Tak tahu sampai bila aku akan terus begini. Rasanya bapak masih ada bersama. Rasanya sudah tidak mampu untuk meneruskan hidup ini tapi aku perlu tabah demi mak. Bapak le’an janji le’an akan jaga mak, le’an akan tabah demi mak, le’an rindu sangat-sangat dengan bapak, le’an sedih pak mak tinggal sorang-sorang, sapa nak ambik le’an lagi pak, sapa nak betulkan kereta le’an kalau rosak nanti.... Ya Allah dugaanMU itu sememangnya amat berat.........Al Fatihah untuk Haji Othman Bin Saiman.