Anugerah Juara Lagu ke-21 baru sahaja melabuhkan tiranya menjadi majlis anugerah pertama yang diadakan pada tahun ini. Terasa gatal tangan ini untuk mengulas sesuatu tentangnya. Sebelum itu, inilah keputusannya:
Juara Lagu 21
Lagu: Terlalu Istimewa
Penyanyi: Adibah Noor
Komposer: Azlan Abu Hassan
Penulis Lirik: Adibah Noor
Terlaluistimewa
Juara Irama Malaysia & Etnik Kreatif
Lagu: Warkah Buat Laila
Penyanyi : Zahid
Komposer : Ayob Ibrahim
Penulis Lirik : Habsah Hassan
Warkahbuatlaila
Juara Pop Rock
Lagu: Juwita Citra Terindah
Penyanyi : M Nasir
Komposer : M Nasir
Penulis Lirik : M Nasir
Juwitacitraterindah
Juara Balada
Lagu : Terlalu Istimewa
Penyanyi: Adibah Noor
Komposer: Azlan Abu Hassan
Penulis Lirik: Adibah Noor
Terlaluistimewa
Vokal Terbaik
Lagu : Terlalu Istimewa
Penyanyi : Adibah Noor
Terlaluistimewa
Persembahan Terbaik
Lagu : Mungkir Bahagia
Penyanyi : Hazami
Mungkirbahagia
Secara keseluruhannya, keputusan kali ini ‘menyenangkan’ semua. Ramai penganalisis dan peminat meramalkan Terlalu Istimewa akan menang besar biarpun menerima saingan daripada lagu Warkah Buat laila kerana lagu runut bunyi filem Qaisy dan Laila ini pernah memenangi Lagu Terbaik AIM 2006 dan Lagu Tema Terbaik Festival Filem Asia Pasifik. Bagi aku, sedikit kecewa bila Warkah Buat Laila tidak menggondol anugerah Juara Lagu ke-21. Naskhah lagu ini agak sempurna. Dengan iramanya yang fusion ditambah lirik yang baik sememangnya lagu ini merupakan pakej yang lengkap untuk memenangi anugerah ini. Terlalu Istimewa juga lagu yang baik cuma bagi aku ianya adalah lagu balada yang tipikal. Berbeza dengan Warkah Buat Laila yang iramanya adalah satu irama yang agak berlainan dan rasanya ia menepati tema rentak Dunia, Rentak Kita yang diperkenalkan. Menurut juri lagu ini dipilih kerana ianya pakej yang lengkap kerana penyampaian penyanyinya. Bagi aku Zahid juga tidak kurang hebatnya. Lenggok etniknya sememangnya berbeza daripada apa yang disajikan Zahid dalam lagu Wo dan Milikmu. Versatiliti Zahid ini agaknya tidak dipandang oleh juri. Kehadiran juri dari Media Prima@TV3 agak mengelirukan. Mungkin TV3 ingin melihat artis mereka diangkat. Bukankah Adibah Noor artis yang selalu berlakon dalam iklan TV3? Dan Zahid? Artis Akademi Fantasia 2, terbitan Astro dan pesaing kuat TV3. Penyertaan Senario dalam AJL juga boleh dipertikaikan sedangkan banyak lagi lagu Irama Malaysia yang baik dalam separuh akhir lalu. Begitu juga pada tahun lepas kemenangan Jacyln Victor yang kontroversi. Jac juga artis keluaran Media Prima menerusi rancangan Malaysian Idol dimana pada AJL kali itu ramai pihak meramalkan Aduh Saliha nyanyian Mawi artis Astro akan menang. Anugerah Skrin yang dianjurkan TV3 pula melihat filem Buli Balik terbitan Grand Brilliance, anak syarikat TV3 menjadi Filem Terbaik. Mungkinkah ini suratan atau kebetulan? Kategori persembahan terbaik pula memang sudah dijangka. Hazami sekali lagi membawa anak-anak didiknya untuk memeriahkan pentas AJL dan sememangnya berbaloi. Siapa kata lagu balada tidak boleh menang persembahan terbaik. Persembahan pantomin yang dibawa ditambah penghayatan Hazami menyanyikan Mungkir Bahagia sememangnya amat baik. Bagi kategori Pop Rock aku tidak mempunyai masalah kerana M Nasir memang layak untuk menang, jika tidak Juwita Lagu Jiwa Lagu Cinta juga karya yang baik. Vokal terbaik pula tidak boleh dipertikaikan. Kredibiliti Adibah dalam membawakan lagu Terlalu Istimewa membuka mata semua pihak. AJL 21 telah berlalu dan semoga industri muzik Malaysia akan terus bertambah maju.
Tuesday, 23 January 2007
Thursday, 11 January 2007
Ayah
Sudah lama rasanya tangan ini tidak menulis sesuatu di 'prasasti seni' ini...selama 6 bulan berkelana di Intan Bukit Kiara, terlalu banyak peristiwa suka, duka, pahit manis disimpan. Perjalanan kursus Diploma Pengurusan Awam bermula 10 Julai 2006 sehingga 5 Januari 2007 akan menjadi satu catatan sejarah yang akan dikenang sehingga akhirnya. Perjalanan kursus yang membawa pelbagai kisah. Namun apa yang lebih penting bagaimana aku mengharunginya. Alhamdulillah biar segala cabaran melanda diri ini tidak pernah goyah biar satu ketika hampir pasrah dengan kehendak Takdir. Aku tidak pernah ingin menolak kehendakNya namun pernah terfikir kenapa secepat itu. Kenapa ianya terjadi tatkala aku terlalu sibuk dengan pelbagai modul dalam kursus ini. Kenapa ianya terjadi tatkala aku baru ingin memberikan kesenangan kepadanya. Tarikh 15 Disember 2006 akan aku kenang sampai bila-bila. Ayahanda kesayanganku Haji Othman Bin Hj Saima telah kembali ke rahmatullah tatkala aku sedang sibuk menyiapkan tugasan kampungku. Namun, Alhamdulillah Tuhan ingin mengerakkan segalanya, aku sempat menatap wajah bapak ketika saat-saat akhirnya. Walaupun diri terlalu sebak namun aku gagahkan jua, saat-saat akhirnya hampir pasti, tak mungkin aku ingin melepaskannya walau sesaat. Kesedihan aku bertambah melihat wajah mak yang senantiasa setia menjaga bapak, makan, minum, segalanya diurus oleh mak biar bapak sudah tidak mampu untuk menyuapkan sesuatu. Seminggu sebelum kehilangannya aku sempat untuk pulang ke rumah. memang terasa mungkin ini minggu terakhir aku dapat berjumpa dengan bapak. Cuti hanya selama 3 hari memang tidak sempat untuk bersama-samanya ketika saat akhir itu namun apakan daya aku terpaksa balik ke Intan kembali meneruskan perjalanan kursus namun panggilan dari kakak di Bangi pada hari Rabu jam 11.00 malam memang tidak dapat aku tolak. Hati makin sebak, mendengar kata-kata kakak 'bapak dah nazak'. sepanjang perjalanan ke Johor hati aku diselubungi pertanyaan, bagaimana keadaannya kalau bapak dah takda? dalam masa yang sama aku masih berdoa agar bapak akan sembuh. baru 24 tahun aku bersamanya, rasanya masih tidak puas. Namun takdir penentu segala, tepat jam 2.20 pagi 15 Disember 2006, hari Jumaat penghulu segala hari bapak telah kembali ke rahmatullah. Aku yang tertidur sebelum itu tiba-tiba terjaga dan diberitahu 'bapak dah takda'. Alhamdulillah aku dapat menerimanya dengan redha biarpun air mata terus laju membasahi. tidak sanggup melihat wajah mak dan adik-beradikku yang lain. Alhamdulillah penantian selama 3 hari berakhir, tidak sanggup melihat bapak dalam keadaan begitu. Allah teramat sayang kepadanya. Alhamdulillah aku dan abang menjadi anak lelaki yang menguruskannya dari urusan mandi, sembahyang sehingalah dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Alif. Cuaca yang tiba-tiba redup sewaktu urusan pengebumian menguatkan hati aku yang kepergiannya perlu diredhai. Satu episod duka telah aku lalui, tak aku sangka angan-anganku untuk bersama-sama mak dan bapak selepas ini hanya tinggal kenangan. Biar bapak tidak banyak bercakap namun dialah pengurus segalanya sehingga kereta rosak pun aku panggil bapak dan dialah yang akan menyelesaikan segala biar telah dimamah usia, bapak tetap kuat demi anak-anaknya. Kenangan bersama bapak terlalu banyak dan akan aku abadikan dalam sudut hati. hanya doa dan kiriman al-fatihah akan sentiasa aku berikan buat bapak. Aku harap mak akan tabah dalam mengharungi hidup yang bakal mendatang. Terima kasih kepada mereka yang mengucapkan salam takziah kepadaku. Aku tau mereka tak ingin melihat aku bersedih. Terima kasih terutamanya kepada rakan-rakan DPA ku terutamanya rakan sebilikku, Lee dan Nizam yang sentiasa memberikan sokongan. Kehadiran kalian mengubati sedikit duka dalam hati ini. Terima kasih semua. Al Fatihah untuk Hj Othman Bin Hj Saiman.....
Subscribe to:
Posts (Atom)